SELAMAT DATANG KE BLOG PERSATUAN ANAK-ANAK LIPIS ....SALAM PERPADUAN..SALAM 1PAHANG DAN SALAM 1MALAYSIA...!!!

Saturday, August 22, 2009

TITAH TUANKU SULTAN KITA SAYANGI

21 April - ‘Perpaduan Kaum Perkukuh Negara’

KUANTAN: Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bertitah hanya perpaduan yang kukuh antara kaum dapat memastikan kesinambungan keharmonian dan keamanan negara ini serta menangani kesan krisis ekonomi global.

Sehubungan itu, baginda meminta setiap rakyat di negeri ini khususnya dan Malaysia amnya dapat memelihara dan mengekalkan persefahaman dan perpaduan antara kaum.

"Beta sentiasa berdoa supaya perpaduan dan kesejahteraan antara kaum sentiasa dapat diperkukuh dan dipertingkatkan kerana ia penting untuk keamanan sama ada di Pahang dan seluruh negara," titahnya ketika merasmikan Persidangan Pertama Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-12 di Wisma Sri Pahang, di sini semalam.

Turut hadir Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Tengku Puan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman dan Cik Puan Muda Pahang, Cik Julita Aishah Abdul Latif.

Sultan Ahmad Shah turut meminta rakyat sentiasa berjimat cermat dan berbelanja secara berhemat bagi menghadapi kesan kemelesetan ekonomi global ketika ini.

Titahnya, rakyat negeri ini tidak terkecuali daripada menerima kesan itu yang menyebabkan kemasukan pelaburan asing dan tempatan di kawasan perindustrian berkurangan, manakala pemberhentian pekerja dalam sektor pembuatan pula meningkat.

"Walau apa pun, kita jangan berpeluk tubuh dan berputus asa, beta yakin ada jalan dan ikhtiar yang boleh digunapakai untuk mengatasi atau mengurangkan kesan kemelut ekonomi," titah baginda.

Sehubungan itu, baginda bertitah, sektor pertanian yang juga asas ekonomi negeri ini akan terus dibangunkan termasuk memberi keutamaan kepada projek pertanian berimpak tinggi.

Sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment