SELAMAT DATANG KE BLOG PERSATUAN ANAK-ANAK LIPIS ....SALAM PERPADUAN..SALAM 1PAHANG DAN SALAM 1MALAYSIA...!!!

Monday, July 13, 2009

Pencapaian yang baik...

Kurangkan beban rakyat

Oleh NIZAM YATIM
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 12 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan sedang mengkaji mengurangkan perbelanjaan yang terpaksa dibayar oleh rakyat untuk pengangkutan termasuk mengenakan kadar tol yang tidak membebankan.

Menurut Perdana Menteri, langkah itu adalah selaras dengan pengumumannya semalam untuk memberikan diskaun 20 peratus kadar tol kepada pengguna SmartTag dan Touch ‘n Go yang menggunakannya 80 kali sebulan mulai 1 September ini.

‘‘Jika kita lihat perbelanjaan individu di kawasan bandar walaupun dengan pendapatan RM3,000 sebulan, kalau terpaksa bayar tol ulang-alik pergi kerja sebulan sebanyak RM300, ertinya setahun sudah hampir sebulan gaji dan ini tidak cukup untuk belanja hidup.

‘‘Sebab itu (diskaun 20 peratus) semalam hanya penyelesaian interim (sementara) dan kita sedang mengkaji keseluruhan sistem tol bagi mengurangkan perbelanjaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif sempena 100 hari pentadbiran Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung melalui saluran TV1 di sini malam ini.

Temu bual selama sejam bermula pukul 8.30 malam itu dikendalikan oleh pengacara RTM, Syed Munawar Syed Mustar.

Selain mengurangkan perbelanjaan rakyat, Perdana Menteri berkata, beliau akan memberikan tumpuan bagi meningkatkan gaji bulanan penduduk negara ini yang disifatkan masih rendah.

‘‘Pada umumnya gaji bulanan rakyat tidak begitu tinggi, sepatutnya dinaikkan lagi khususnya di kalangan masyarakat luar bandar supaya mereka tidak terpinggir.

‘‘Sebab itu, saya telah meletakkan sasaran untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai bidang pekerjaan yang mampu menjana pendapatan tinggi,” katanya.

Mengenai pengumuman semalam yang dianggap sesetengah pihak bagi meraih populariti, Najib menjelaskan, ia adalah tidak benar kerana jika itu tujuannya sudah pasti beliau melakukan tindakan tersebut sejurus selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.

‘‘Kalau kita lihat selepas mengambil alih jawatan tumpuan saya ialah untuk mengubah dasar negara termasuk ekonomi dan kemudiannya memperkenalkan gaya pentadbiran berasaskan 1Malaysia dan selepas 100 hari baru mengumumkan hadiah-hadiah untuk rakyat,’’ ujarnya.

Mengenai ulasan beberapa pihak yang mempertikaikan pengeluaran 3,000 permit teksi individu, katanya, ia dilakukan setelah maklum balas yang diterimanya menunjukkan pemandu terbabit terbeban kerana terpaksa membayar kadar sewa RM50 sehari.

‘‘Bagi saya adalah tidak adil apabila pemandu teksi ini juga terpaksa membayar minyak kenderaan manakala pemegang permit hanya duduk sahaja di rumah,’’ katanya.

No comments:

Post a Comment